PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING SEMEMANGYA MAMPU MENGUBAH DIRI DAN MASA DEPAN ANDA. GERBANG ILMU YANG PADAT DENGAN INFO TERKINI, BERKHIDMAT TANPA BALASAN DAN IKHLAS MEMBANTU TANPA RAGU, BERTUNJANGKAN ETIKA KERAHSIAAN SEIRING DENGAN KESUSILAAN YANG LUHUR


Selasa, November 08, 2011

13 MITOS KAUNSELING HARUS KITA TAHU

Mitos 1:
Kaunseling hanya untuk mereka yang gagal dan mempunyai masalah emosi yang serius.
Fakta :
Kebiasaannya sesi kaunseling disertai oleh individu yang mempunyai masalah yang biasanya kita hadapi sehari-hari. Apabila masalah ini berlanjutan tanpa diselesaikan, ia akan mendatangkan tekanan kepada individu. Tekanan timbul apabila berlaku perubahan dalam kehidupan dan perkara ini menyebabkan individu tersebut memerlukan pertolongan dari kaunselor. Kaunseling juga membantu individu yang:
- mempunyai masalah rendah diri, komunikasi atau as ertif
- mempunyai masalah belajar atau gemuruh ketika peperiksaan
- mempunyai masalah dal am penyesuaian di tempat belajar atau kerja

Mitos 2:
Mendapatkan perkhidmatan kaunseling lambang kelemahan kita.
Fakta :
Mereka yang mendapatkan perkhidmatan kaunseling tidak lemah! Malah ia memerlukan satu kekuatan, celik akal dan kesungguhan untuk membuat perubahan kepada diri. Individu yang mendapatkan perkhidmatan kaunseling mengambil langkah pertama dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mereka menjalankan tanggungjawab kepada hidup mereka.

Mitos 3:
Kaunselor akan ‘menyelesaikan’ masalah anda.
Fakta :
Kaunselor tidak menyelesaikan masalah untuk anda. Tetapi kaunselor akan membantu anda untuk meneroka perasaan dan pemikiran anda untuk melihat pilihan-pilihan yang anda ada untuk mencapai matlamat yang telah anda tetapkan.

Mitos 4:
Kaunselor tidak dapat memahami saya melainkan kaunselor itu mempunyai pengalaman atau latar belakang yang sama dengan saya.
Fakta:
Kaunselor dilatih untuk mendengar luahan dan menghormati perbezaan hidup dan pengalaman antara individu termasuklah perbezaan jantina, bangsa, kecacatan, agama, umur, taraf ekonomi dan lain-lain perbezaan.

Mitos 5:
“Tiada siapa yang boleh mengarahkan saya”
Fakta:
Tugas seorang kaunselor bukan untuk mengarah-arahkan anda. Malah, kaunselor akan membantu anda meneroka penyelesaian kepada masalah yang anda hadapi dan membantu anda mencapai matlamat.

Mitos 6:
Sekiranya saya menjalani sesi kaunseling, ia akan menjadi sebahagian daripada rekod akademik saya.
Fakta:
Rekod kaunseling tidak dicampuradukkan dengan rekod akademik dan ia dilindungi oleh undang-undang. Maklumat sesi kaunseling hanya boleh didedahkan atas persetujuan pelajar (bertulis) atau berkaitan dengn perintah mahkamah.

Mitos 7:
“Kaunseling tidak berkesan. Saya telah mencubanya”
Fakta:
Proses kaunseling berbeza untuk setiap kaunselor dan masalah. Jadi jangan berputus asa untuk mencuba lagi.

Mitos 8:
Seseorang yang tidak mengenali saya tidak boleh membantu saya.
Fakta:
Ini adalah salah satu sebabnya kaunseling boleh berjaya. Proses kaunseling bergantung kepada kaunselor yang tidak berat sebelah terhadap sesi kaunseling. Kaunseling melibatkan hubungan yang unik dan kaunselor mempercayai bahawa anda mempunyai potensi diri untuk berjaya.

Mitos 9:
Kaunselor boleh membaca minda individu lain.
Fakta:
Kaunselor tidak mempunyai kuasa (ghaib) untuk membaca minda. Walau bagaimanapun, melalui latihan kaunselor mempelajari untuk membuat pemerhatian dan mendengar dengan teliti kepada kliennya. Melalui proses tersebut kaunselor dapat mengetahui perkara tentang diri klien yang tidak disedari oleh klien sendiri.

Mitos 10:
Kaunseling berlanjutan dalam tempoh yang lama.
Fakta:
Tempoh kaunseling bergantung kepada keunikan matlamat klien dan kesukaran cabaran yang dihadapinya. Kaunseling jangka masa pendek memfokuskan kepada penyelesaian masalah dan isu yang terperinci. Kaunseling jangka masa panjang pul a memfokuskan kepada perkembangan peribadi klien.

Mitos 11:
Semua orang akan tahu saya pergi mendapatkan perkhidmatan kaunseling.
Fakta:
Kaunselor dibatasi dengan kerahsiaan dan tidak akan membincangkan masalah anda kepada pengetahuan umum. Setiap kaunselor perlu menerangkan tentang kerahsiaan kepada anda. Orang lain hanya akan tahu anda mendapatkan perkhidmatan kaunseling sekiranya anda yang mengumumkannya.

Mitos 12:
Kaunselor akan mempengaruhi saya untuk menentang keluarga saya.
Fakta:
Hakikatnya kaunselor akan memberikan galakkan dan sokongan kepada anda untuk melahirkan hubungan yang sihat dan lebih bermakna dengan ahli keluarga dan orang di sekeliling anda.

Mitos 13:
“Dia yang memerlukan kaunseling. Bukan saya!”
Fakta:
Kita hanya mampu mengawal tingkahlaku dan tindakan kita terhadap orang lain. Perkara yang berkesan untuk membuat perubahan dalam perhubungan ialah dengan merubah tingkahlaku kita sendiri.

DIPETIK DARI CATATAN : Nur Farahzawanah Ali
Sumber:
Northcentral Technical College Counseling Center (2008), Myths About Counseling. Diambil dari web: http://www.ntc.edu/pdf/counseling/Myths%20About%20Counseling%2008%2007.pdf pada 30 Jun 2010

Department of Counseling and Educational Development, The University of north Carlorina, Greenboro (2010). Fifteen Common Myths People Believe About Counseling. Diambil dari web:http://www.uncg.edu/ced/bbandb/index_files/Page1013.htm pada 30 Jun 2010.

Tiada ulasan: