PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING SEMEMANGYA MAMPU MENGUBAH DIRI DAN MASA DEPAN ANDA. GERBANG ILMU YANG PADAT DENGAN INFO TERKINI, BERKHIDMAT TANPA BALASAN DAN IKHLAS MEMBANTU TANPA RAGU, BERTUNJANGKAN ETIKA KERAHSIAAN SEIRING DENGAN KESUSILAAN YANG LUHUR


PROFAIL

SEJARAH SEKOLAH

Sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 1986 di atas sebidang tanah seluas 25 ekar.  Ianya terdiri daripada tiga blok, bangunan tiga tingkat, sebuah kantin dan bengkel. Pada peringkat awalnya sekolah ini adalah cawangan daripada Sekolah Menengah Sultan Ibrahim, Kulai kira-kira empat kilometer dari sekolah ini. Ketika ini pengetua sekolah ialah En. Chandrasegaran. Pada 1hb. Januari 1988, sekolah ini di tadbirkan sendiri. Pengetua yang pertama sekolah ini ialah Tuan Haji Musa B. Haron, mulai 1hb. Januari 1988 hingga 15hb. April 1992. Sekolah ini mula mengambil pelajar pada 3hb. Januari 1988 yang terdiri daripada 16 guru dan 365 murid yang menduduki tingkatan peralihan dan satu di sidang pagi sahaja. Memandangkan kekurangan bilik darjah, pada tahun 1990, sekolah ini memulakan sidang petang. Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran yang pertama kalinya diadakan pada tahun 1990. Pelajar-pelajar yang lulus Sijil Rendah Pelajaran telah ditempatkan di Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman Putra, Kulai. Mulai 1993, sekolah ini memulakan kelas Tingkatan Empat Sains dan Sastera. Pada tahun 1993, sekolah ini mendapat sebuah bangunan tambahan tiga tingkat yang terdiri daripada 12 bilik darjah dan 3 makmal sains. 
Pengetua yang kedua sekolah ini ialah En. Suratman B. Dasim mulai 15hb. Julai 1992 hingga 15hb. Ogos 1993 dan Pengetua yang ketiga ialah En. Salamon B Sarip mulai 16 hb. Ogos 1993 hingga Januari 1998. Pengetua yang keempat ialah Pn. Melina Wong Bt Abdullah. Beliau memulakan tugas mu1ai 1hb. Mac 1998 hingga 14 hb Februari 2001.  Pengetua kelima adalah En. Siow Yee Woo mulai 1 hb April 2001 hingga 30 hb November 2001. Bermula dari 1 hb. Disember 2001 hingga  Jun 2002, tugas Pengetua dipangku oleh En. Ahmad Fauzi Mohd Sumali, Penolong Kanan sekolah sebelum beliau bertukar ke SMK Kangkar Pulai.  Jawatan ini seterusnya dipangku oleh En. Che Mustapa Che Ismail dari Jun 2002 hingga Jun 2003.  Seterusnya En. Lee Hock Lai menjadi Pengetua mulai 16 hb Jun 2003 hingga 31 Oktober 2006.  Mulai 1 November 2006, jawatan Pengetua disandang oleh Pn Hjh. Zubaidah Bt. Endot, setelah itu jawatan pengetua disandang pula oleh Puan Hajah Fouziah yang sempat bertahan sehingga ogos 2011 sebelum disambung pula oleh Puan Tan Moi Yan  sehingga sekarang.
 Sepanjang tempoh terbinanya sekolah ini, satu peristiwa kebakaran telah berlaku pada 27 Jun 1999 yang melibatkan blok A sekolah serta beberapa bahagian dari blok-blok yang lain, yang telah dilakukan oleh murid.  Kesan dari peristiwa ini memberikan persepsi yang kurang baik masyarakat terhadap sekolah sehingga kehari ini. Pada 3 Januari 2004, sebuah sekolah baru telah ditubuhkan dengan menumpang sementara disekolah ini sehinggalah bulan Ogos 2004 sebelum berpindah ke bangunan sendiri di Indahpura.  Bilangan murid di SMKKB  berkurangan   menjadi di sekitar 800 orang sahaja.  Ini disebabkan murid-murid yang tinggal dialamat Saleng dan Indahpura ditempatkan di SMK Indahpura.  Pada masa ini murid-murid yang ditempatkan di SMKKB adalah murid-murid yang tinggal di Bandar Putra, Ladang Swee Lam, Kg. Pertanian, Kg. Separa, Ladang Kulai Besar, Taman Makmur dan Kulai Besar.



Visi

Mewujudkan Iklim Pendidikan Yang Kondusif, Teraputik Dan Efektif Dari Aspek Fizikal, Perhubungan Dan Pengurusan Berteraskan Konsep Perkhidmatan Bimbingan Dan Kaunseling Berkualiti Secara Menyeluruh Dan Berkesan Demi Kecemerlangan Pelajar Dan Sekolah

Misi

Dengan Penuh Rasa Tanggungjawab Dan Bersungguh-Sungguh Menyediakan Perkhidmatan Menolong Bantu Pelajar Dari Aspek Pengayaan, Perkembangan, Pencegahan Dan Pemulihan Untuk Mempertingkatkan Pengetahuan, Ketrampilan Dan Konsep Kendiri Positif Yang Perlu Dalam Menghasilkan Masyarakat Madani Melalui Perkhidmatan Dan Kaunseling Yang Berkesan, Amanah Berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Falsafah

Bahawasanya Setiap Pelajar Mempunyai Potensi Yang Boleh Digembelingkan Secara Optimum Menerusi Pengurusan Menyeluruh Perkhidmatan Bimbingan Dan Kaunseling Yang Cekap, Berkesan Dan Beramanah Berteraskan Sumber Dalaman Dan Luaran Bagi Melahirkan Pelajar Yang Seimbang Dari Aspek Intelektual, Jasmani, Emosi Dan Rohani Serta Beriman Dan Beramal Soleh